Wednesday, 9 November 2011

Tunggu Dapat Hidayah

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd 13:11)

Di sini, kita mengerti bahawa perubahan itu akan wujud melalui usaha daripada diri kita sendiri. Jikalau kita tidak memulakan langkah untuk berubah, maka kita akan selamanya berada di takuk yang lama.

"Insya-Allah nanti bila sudah dapat hidayah saya akan pakai tudung."

Ini hanya contoh jawapan yang 'cliche' bila ditanya mengenai pemakaian tudung. Ada banyak lagi ayat-ayat yang sering diungkapkan kita demi untuk menepis segala soalan masyarakat mengenai diri kita atau sikap kita. Walhal hidayah tidak datang kepada kita, kita yang sepatutnya mencari hidayah Allah!

"Dah tua nanti aku berubah lah weh!"

Ini lagi satu contoh. Kalau hati sendiri telah set kan bahawa anda memang tidak mahu berubah, bagilah seribu tahun pun kehidupan.. anda rasa anda akan berubah? Tidak sama sekali!

Untuk berubah, individu tersebut perlukan keinginan, ketetapan dan keteguhan hati.

Kenapa kita lihat banyak manusia yang mahu berubah ke arah kebaikan kecundang di tengah jalan transformasi?

Ini berkemungkinan besar kerana mereka punyai keinginan untuk berubah tetapi hati mereka tidak cekal dan tidak tetap untuk berubah!

Namun, jika hendak seribu daya jika tidak mahu seribu dalih. Hati itu asbab dan punca. Jika ia kuat maka akan kuatlah kita, jika tidak, kalahlah kita.

Berubah itu kaitannya hati dan jika hati itu tidak kuat, punya nawaitu yang tidak tetap dan masih ada walau sekelumit keinginan untuk mengulangi sikap lampau kita, maka susahlah manusia itu untuk menetapkan diri pada perubahan.

Hati itu juga berkait dengan anggota. Anggota itulah yang bakal meneguhkan hati. Demikian, apabila bertemu keinginan yang lama, mata tidak boleh memandang, kaki tidak boleh mengekori dan tangan tidak boleh beragak-agak untuk menyentuh atau melakukan.

Sekali lagi saya ingin tegas kan kepada saudari dan saudara marilah kita hayati akan maksud di sebalik Firman Allah ini:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
Surah ar-Ra'd 13:11

Sekiranya jalan yang kita lalui itu sukar ketika kita ingin berubah, maka sebenarnya itu lebih baik daripada anda kembali bergelumang dengan selut dan lumpur di jalan lama. Ingat, ini hanya dunia. Berubahlah ke arah kebaikan untuk Akhirat yang kekal abadi. Kitalah penentu nasib kita di sana!

- Artikel iluvislam.com

Hak Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.

Dalam Al-Quran ada menyebut:

"Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan". (Surah An-Nisaa' : 32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak'.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan:

"Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keuda-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak".

Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok Wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:

1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;

2. Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

3. Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.

Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes Mansur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:

"Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta sepencarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budibicaranya". Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya".

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto' binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian.

Fakta kesnya adalah seperti berikut:

Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami.

Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:

"Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian".

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:

"Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami".

Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya.

Harta sepencarian adalah satu prinsip yang berasaskan adat temenggung dan diterima pakai di dalam undang-undang kekeluargaan Islam di negeri-negeri dalam Malaysia. Ia bermaksud harta yang diperolehi oleh suami atau isteri sepanjang tempoh perkahwinan yang perlu dibahagikan di antara mereka selepas berlaku perceraian.

Menurut konsep harta sepencarian mana-mana pasangan tetap berhak kepada harta sepencarian walaupun dia tidak berkerja. Ini bermaksa seseorang isteri yang menjadi surirumah tetap berhak mendapat sebahagian dari harta suaminya jika mereka bercerai dengan syarat harta tersebut diperolehi dalam tempoh perkahwinan.

Dalam kes Robert alias Kamarulzaman lwn Umi Kalsom (1966) 1 MLJ 163, sepasang suami isteri membeli sebuah rumah di Setapak dengan harga $50,000 dengan sumbangan dari suami sebanyak $40,000 dan baki $10,000 dibayar oleh isteri. Rumah itu didaftarkan di atas nama isteri. Apabila bercerai, Robert menuntut bahagiannya berasaskan nisbah sumbangan yang diberikan. Mahkamah membuat keputusan berasaskan prinsip harta sepencarian dengan mengarahkan harga rumah tersebut dibahagi dua di antara plaintiff dan defendan.

Dalam kes Tengku Anun Zaharah lwn Dato' Dr. Hussein, Jernal Hukum Jilid III Bah. 1, Sept. 1983, 125, defendan (bekas suami) adalah seorang hartawan yang memiliki antara lain 6 bidang tanah, 6 lot rumah kedai di Wisma Central, beberapa buah rumah dan kenderaan. Plaintiff menuntut sebuah rumah, sebuah kereta dan beberapa harta lain di bawah harta sepencarian. Defendan mendakwa bahawa plaintiff tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam usaha mendapatkan harta benda tersebut kerana plaintiff adalah seorang suri rumah.

Mahkamah memutuskan bahawa walaupun plaintiff tidak menyumbang secara langsung dalam pemerolehan harta, namun plaintiff tetap berperanan penting sebagai isteri yang memberikan ketenangan jiwa, kedamaian dan sokongan moral kepada suami sehingga membolehkan defendan memperolehi harta tersebut. Harta sepencarian tidak dilihat dari sudut usaha memperolehi secara sempit sebaliknya melihat kepada peranan kedua-dua suami dan isteri yang berkongsi hidup selama mereka dalam ikatan perkahwinan. Oleh yang demikian, Mahkamah membenarkan tuntutan harta sepencarian plaintiff termasuk 3 ekar tanah yang didaftarkan di atas nama defendan.

- Artikel iluvislam.com

Umat Islam : Kualiti dan Kuantiti

Perang Badar menjadi bukti bahawa bilangan yang sedikit tidak menghalang Muslimin daripada menang menghadapi musuh yang banyak bilangannya, dengan syarat terpasaknya dalam jiwa Taqwa dan Sabar.

Perang Hunain pula menjadi bukti bahawa bilangan yang ramai tidak dapat menolong Muslimin dalam mengatasi musuh, andai tiada keutuhan Taqwa dan Sabar.



Ayat al-Quran diturunkan mengenai perang Badar dan perang Hunain agar dijadikan sebagai pengajaran buat umat Islam. Sudahkah kita mengambil teladan dan sempadan?



Bilangan Muslimin yang sedikit dalam perang Badar tidak menjadi penghalang kemenangan, lantaran ketulenan Islam dan Iman, serta pegangan yang kukuh kepada Allah dan RasulNya.



Sebaliknya semasa perang Hunain, bilangan Muslimin amat ramai. Tetapi angka yang besar tersebut tidak menjamin kemenangan. Meskipun ramai, tetapi bagaimana dengan kekuatan iman di dalam jiwa?



Perang Hunain

Rasulullah s.a.w keluar menuju ke Lembah Hunain bersama angkatan berjumlah 12 000 orang - 10 000 dari Madinah dan 2 000 dari Mekah.


Melihatkan jumlah tentera yang besar, beberapa orang di kalangan tentera Muslimin berkata: "Kita pasti tidak akan kalah."



Sebahagian daripada tentera Muslimin di perang Hunain itu terdiri daripada mereka yang hanya menggabungkan tubuh badan ke dalam pasukan Muslimin, tetapi hati dan jiwa masih dikuasai oleh dunia, masih terdapat sifat-sifat yang menjadi penghalang kepada turunnya pertolongan Allah s.w.t.



Oleh sebab itu, ramai dikalangan tentera Muslimin mundur ke belakang semasa berlakunya kacau-bilau dan porak-peranda akibat diserang hendap di Lembah Hunain.



Tetapi para mukminin sadiqin dari kalangan Ansar dan Muhajirin, kembali menghadapi musuh sebaik sahaja mendengar laungan dan panggilan Rasulullah s.a.w. Mereka terus mengelilingi Baginda s.a.w dan terus teguh mengharungi pertarungan sengit. Dan bilangan sadiqin itu tidak lebih dari 200 orang.



Dengan 200 orang sadiqin itu, kemenangan berbalik semula kepada Muslimin setelah hampir dimiliki pihak musuh. Sakinah (ketenangan) telah diturunkan dan ditempatkan semula ke dalam hati Muslimin. Pihak musuh musyrikin telah ditewaskan oleh tentera Allah, padahal mereka dalam angka bilangan berjumlah 12 000.

Firman Allah Ta'ala:



Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi sombong kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.



Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.
(At-Taubah: 25-26)



Perang Badar

Benarnya niat, gigihnya ikhtiar dan usaha - syariatullah juga sunnatullah, dan penggantungan harapan hanya kepada Allah Ta'ala, menjadi asbab hadirnya bantuan yang dinanti daripada Allah Maha Perkasa.



(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut."



Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Al-Anfal: 9-10)



Realiti Kini

Kuantiti itu penting, tetapi kualiti lebih penting. Umat Islam tidak sedikit. Ramai. Tetapi Muslim yang berjiwa Muslim Mukmin masih kurang. Muslim yang menghayati Islam sebagai the way of life masih kurang. Pelbagai 'penyakit' masih melanda umat Islam. Buktinya, apa yang kita lihat pada hari ini.



Pelanggaran larangan Allah, maksiat kepadaNya. Pengabaian solat, zakat dan puasa. Pakaian tidak menutup aurat dan tidak menepati syara'. Ikhtilat tidak syar'ie, khalwat, zina, rogol, rempit, curi, arak, judi, rokok, dadah, bunuh, homoseksual, murtad, pecah amanah, rasuah dan Al-Quran tidak diambil sebagai perlembagaan.



Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (telah melaksanakan perintah Allah untuk memberi peringatan) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.



Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasiq.(Al-A'raaf: 164-165)



Perubahan perlu dilakukan. Umat Islam perlu sedar dan bangkit. Umat Islam perlu membina kekuatan spiritual, kepakaran dan ekonomi, mencontohi kegemilangan Islam di waktu silam. Dan peranan pembinaan kekuatan umat kini terletak pada bahu semua muslim.

Perintah Allah Ta'ala kepada kita:



Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka (musuh Allah) dengan kekuatan yang kamu miliki. (Al-Anfal:60)

-Artikel iluvislam.com

Pengorbanan dalam Mentaati Allah

SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.

Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.

Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.

Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.

Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.

Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.

Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi

Mengapa Dia Sering Datang Kepadaku?

Apakah yang kita rasa jika rumah kita dijenguk oleh seseorang yang tidak dikenali setiap dua puluh minit sekali? Risau? Gelisah?

Bagaimana pula jika orang menjual barangan atau meminta sedekah datang ke rumah, mengetuk pintu rumah dan cuba mendapat perhatian kita setiap dua puluh minit? Rimas?

Bagaimana pula jika bos kita datang ke tempat kita, 'cubicle office', setiap dua puluh minit?

Kita tentu mengesyaki dia perlukan apa-apa atau hendak memastikan kita menjalankan tugasan.

Bagaimana jika anak kita datang menjenguk kita di bilik atau di ruang tamu setiap dua puluh minit sekali?

Tentu kita menyangka dia perlu bercakap dengan kita atau sesuatu tidak kena.

Tanggapan kita seharusnya bertepatan berdasarkan kerja atau kebiasan tugas mereka yang menjenguk itu. Jika anak, kita rasakan dia perlu bantuan kerana itu kebiasaan dia perlukan bantuan kita.

Begitu juga dengan bos, dia selalu memberi kita tugasan maka jika dia kerap menjenguk maka kita terfikir dia mahu berikan kita tugasan. Jika orang asing, tentu kita menyangka dia memerhati untuk melakukan jenayah.

Bagaimana jika tugas suatu makhluk itu menjenguk kita dua puluh minit sekali dan tugasnya adalah mengambil nyawa kita?

Sebuah hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya :

" Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini tujuh puluh kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah S.W.T untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."

Seandainya kita tahu akan hal ini, nescaya kita tidak lagi lalai dalam mengingati mati.

Rasulullah S.A.W pernah ditanya:

"Siapakah orang orang beriman yang lebih bijak? Jawab baginda: Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik penyediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah yang lebih bijak"(Hadis riwayat ibn Majah drpd Ibn Umar r.a)

Sepertimana kita risau akan orang asing yang menjenguk rumah kita, kemungkinan menelefon pihak polis atau bersiap dengan senjata, begitulah seharusnya persediaan kita menghadapi mati.

Ini kerana, mati itu pasti datang. Atas kepastian ini yang hidup itu pasti akan mati, kenapa kita tidak bersiap-sedia. Oleh itu, mereka yang menyediakan persiapan yang lengkap adalah mereka yang paling bijak.

Pandangan sisi, jika kita melihat ada orang akan membaling batu kepada kita. Kita tunggu dan biarkan batu ketuk kepala. Kawan kita akan bertanya "Kenapa kau tak elak?". Kita menjawab, "Saja". Dia tentu berkata "Bodohlah kau ni, elakla dah tahu dia nak lempar batu tu kat kau!"

Sedangkan manusia biasa faham hakikat apabila tahu tetapi tidak sedia itu bodoh, maka bila tahu dan sedia itu bijak!

Oleh kerana itu, sebenarnya manusia itu sedar akan kita akan menempuh kematian. Lihatlah sekeliling, begitu mudah mereka mati sama ada kerana penyakit, kemalangan, tiba-tiba mati dan bencana.

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh Malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Meskipun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu.

Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi S.A.W yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan Malaikat maut.

Sesungguhnya Malaikat maut menjalankan arahan Allah S.W.T dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah S.W.T menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah S.W.T untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab ataupun tidak. Bayangkanlah ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi Malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal sama ada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

" Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. " ( Surah al-A'raf ayat 34 ).

Bagaimana?

Sudah bersedia?

Sedar atau tidak?

Kematian itu pasti menjemput kita.

-Artikel iluvislam.com